Rahmat Pemberian Allah

 


Saya kononnya cepat keletah.  Dicampur dengan sifat ingin tahu, terhasillah seorang anak yang merimaskan ibubapa.  Ada seorang Cina yang selalu datang mengutip botol dan tahi kambing.  Dia datang dengan basikal tiga roda.  Saya mengikuti orang tua itu kesana kesini, kerana saya ingin sangat tahu kenapa dia memakai seluar yang begitu besar.  Satu hari, saya bertanya kepadanya.  Ibu saya menjerit "Aku cilikan mulut budak ni!"

Kakak saya pernah cerita, pengutip botol itu burut, sebab itu dia memakai seluar besar dan jalan mengengkang.

Satu lagi yang selalu dijeritkan kepada saya ialah "Budak ni pandai tapi tak cerdik!" Pada umur lebih kurang empat tahun, saya disuruh memasak nasi dalam periuk yang besar, menggunakan kayu api, di atas dapur yang terlalu tinggi bagi saya.  Terkial-kial memikirkan bagaimana mencari kudrat mengangkat periuk yang terlalu berat?  Akhirnya saya menggunakan kerusi kecil dan mula-mula meletakkan periuk, kemudian beras dan akhir sekali air.

Ayah saya pula selalu memanggil saya anak sial.  Kakak saya, berumur tujuh tahun lebih daripada saya, mengatakan Ayah amat inginkan anak lelaki dan mahu mengambil seorang budak lelaki sebagai anak angkat.  Ibu saya pula amat yakin, ketika mengandungkan saya, anak yang akan dilahirkan pasti lelaki. Berlakulah satu pergaduhan ketika saya lahir.  Ingin saya jeritkan, "Kuasa saya ke nak lahir lelaki atau perempuan?" Tentunya jeritan itu tinggal di hati sahaja. 

Ketika saya mengandung anak pertama, saya mendoakan anak yang sihat, tidak kira lelaki atau perempuan.  Apabila umurnya lapan tahun, ketika kami di Kanada, dia dikelasifikasikan "gifted".  Ketika itu, dan seterusnya sementara dia membesar, saya sentiasa mengingatkan diri saya, bagaimana pintarnya dia, dia tetap kanak-kanak.  Masih tidak cukup kematangan emosi, masih tidak mempunyai pengetahuan setaraf seorang dewasa berpengalaman.  Perlu dibelai dan dimanja seperti anak-anak yang lain. Cukuplah saya seorang sahaja “Pandai tapi tak cerdik”.


Websites: www.distilledmoment.com

                 www.redha.net

Email.    : distilledmoment@gmail.com

Instagram username : halijah.mohd

Twitter handle: @distilledmoment


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apabila Sesuatu Tidak Dapat Dilihat Walaupun di Depan Mata

Nilai Belas Kasihan, Bahagian 1

Pemindahan Pembelajaran