Perhatikanlah Anak-anak di Sekeliling Anda, Semoga Tiada Yang Terseksa

Bagaimana nak panjat pokok sentul yang lebih besar daripada sepemeluk saya? Boleh ke saya letak papan di atas pokok manggis supaya saya boleh baring dan tersembunyi? Di mana boleh sorok barang permainan saya supaya tidak dikesan oleh sesiapa? Apa akan berlaku kalau saya suap anak burung yang saya jumpa dalam semak? Seribu satu projek bermain di kepala saya, tiada ruang meratapi nasib saya.
Tiap-tiap hari ada saja yang saya rancang. Tetapi ketika saya dihukum kerana tidak membayar yuran sekolah atau tidak berkasut dan tiada buku sekolah, saya menangis melayan air mata sendiri. Disuruh ketuk ketampi sekeliling sekolah dan tangan berdarah dikerah cabut rumput berduri. Amatlah perit!
Wan T, seorang jiran yang lebih tua daripada ibu saya, selalu singgah berborak. Dia suka senyum kepada saya dan memarahi ibu, "Apa dosa budak tu kau marah sangat kat dia?". Saya juga selalu bertanya dalam hati soalan yang sama. Hina sangat ke saya hingga dibezakan daripada adik beradik lain?
Satu hari, ketika saya berumur sembilan tahun, hidup saya berubah. Ustaz H datang berbincang dengan ibu saya. Oleh kerana ayah tiada di rumah, mereka berborak di halaman sahaja. Tiada siapa yang sedar saya sedang berbaring di atas pokok manggis.
Ustaz H akan bersara dan sebelum dia pulang ke kampungnya, dia ingin keluarga saya tahu dia tidak pernah berjumpa dengan murid se pintar saya. Saya juga anak ayah saya, berhak menerima pembiayaan seperti anak-anak yang lain, tegasnya. Ibu saya tidak menceritakan apa-apa kepada saya. Tetapi saya berazam, saya tidak lagi sanggup dihukum di sekolah. Baru saya tahu, saya juga ada hak.
Walaupun saya tidak diberi belanja sekolah seperti adik beradik lain, saya tidak kisah, saya tuntut yuran sekolah. Saya tendang dinding hingga tercabut. Tetapi usaha saya menebang tiang rumah langsung tidak membawa kesan. Kayu tiang terlalu keras! Apabila ayah saya jerit "Tak usah ke sekolah", saya ambil parang suruh dia bunuh saya. Hari demi hari, ibu saya sediakan kasut, buku dan baju sekolah. Juga, saya tidak lagi dipukul separuh mati!
Al Fatihah buat Wan T dan Ustaz H. Begitu terhutang budi saya. Saya harap, mereka yang terlibat dengan kanak-kanak, janganlah menghukum hingga pasti anak itu betul-betul bersalah. Lembutkan lah hati! Belailah anak-anak yang tidak disayangi. Mana tahu, anda mungkin mengubah perjalanan hidup mereka.
Websites: www.distilledmoment.com
www.redha.net
Email. : distilledmoment@gmail.com
Instagram username : halijah.mohd
Twitter handle: @distilledmoment
Ulasan