Sejarah Belajar Menjahit



Ketika saya kecil, tugas menyimpan barangan dapur ke dalam bekas menjadi kegemaran saya.  Di kedai, barangan dapur disimpan dalam tempayan, guni atau tin besar.  Barangan yang dibeli pelanggan ditimbang dan dibalut dengan kertas surat khabar.  Kertas surat khabar tersebut menjadi bahan bacaan saya. Juga memberi sedikit gambaran kepada saya dunia di luar kampung.


Ketika saya berusia sepuluh tahun, saya ternampak gambar baju "twist".  Baju tersebut dipotong ketat hingga ke pinggul dan di bawahnya diropol kembang.  Jika anda menari "twist", bahagian bawah baju itu akan terjungkit dan mencantikkan lagi  tarian anda :-) Hmm.. cantik sungguh, saya fikir.  Saya tunjuk kepada ibu dan memohon dia jahitkan untuk saya.  "Budak ni gila ke?" jeritnya.


Selalunya ayah membeli segulung kain dalam bulan Ramadhan untuk perayaan bulan Syawal.  Setelah menjahit baju anak-anak lain, ibu memberi saya lebihan kain.  "Pandai sangat, jahit sendiri!" katanya.  Perlu diingat, sebelum waktu itu, saya tidak dibenarkan menyentuh gunting dan mesin jahit.  Walaupun begitu, saya terima cabaran ibu saya.


Apa yang terjadi menggelikan hati :-)  Walaupun saya mengukur diri saya dengan berbagai tali yang terjumpa, saya terlupa menambah basi agar senang duduk atau bercangkung.  Saya digelakkan kerana saya terpaksa menyenteng baju bila mahu duduk.  Semangat saya masih berkobar-kobar.  Saya potong baju jadikan blaus.  Kemudian saya cari kain perca yang masih kuat.  Saya cantumkan perca-perca tersebut menjadi blaus dan skirt.  Nasib baik penghayatan warna saya agak baik.  Jadi tidaklah ada pakaian yang berkecamuk.  Adalah pakaian untuk ke sekolah asrama, walaupun nampak luar biasa sedikit!


Di asrama, saya mencari buku menjahit dan kraftangan.  Masalahnya tiada wang untuk membeli bahan.  Saya pun membantu aktiviti pengumpulan dana sekolah dengan menghasilkan produk untuk jualan.  Bahan diberi guru sains rumah tangga.  Saya sumbangkan tenaga.  Tiada apa yang saya perolehi, melainkan keseronokan belajar sesuatu yang baru.


Dengan izin Allah, saya terjumpa sebuah buku terpakai mencorak (pattern drafting) pakaian.  Berharga dua ringgit, berbahasa Jepun.  Sedikit pun saya tidak faham, tetapi gambar rajahnya jelas.  Cuti sekolah dipenuhi aktiviti mencari kertas untuk melakar corak pakaian. Kain terhasil dengan menetas baju adik beradik yang tidak mahu atau tidak boleh digunakan lagi.


Websites: www.distilledmoment.com

                 www.redha.net

Email.    : distilledmoment@gmail.com

Instagram username : halijah.mohd

Twitter handle: @distilledmoment



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apabila Sesuatu Tidak Dapat Dilihat Walaupun di Depan Mata

Nilai Belas Kasihan, Bahagian 1

Pemindahan Pembelajaran