Nilai Belas Kasihan, Bahagian 1
Walaupun saya sering dimarah oleh ibu saya semasa saya kecil, dia selalu membawa saya bersama jika dia mahu mendapatkan rawatan perubatan. Disebabkan kurang penjagaan ketika melahirkan anak kembar, dia mengalami banyak masalah kesihatan. Hospital dan klinik pada zaman itu bukanlah tempat yang paling mesra bagi seorang wanita Melayu kampung. Saya rasa dia membawa saya untuk mendapat sedikit keberanian. Kakitangan Melayu jarang kelihatan, dan dihina dan dijerit seolah-olah perkara biasa? Hati saya amat terguris, dan saya berjanji pada diri sendiri suatu hari nanti saya akan menjadi seorang doktor yang penuh belas kasihan, terutama kepada orang Melayu yang duduk di kampung.
Selesai sekolah menengah, saya dihantar ke Australia bagi menjalani program matrikulasi. Selepas matrikulasi, saya memulakan pengajian perubatan di universiti. Saya terlepas bulan pertama pengajian. Masalah ulser yang telah bermula ketika saya di tingkatan empat datang semula dan saya dimasukkan ke hospital. Saya pengsan dalam kelas biologi. Tutor, seorang wanita tegap gergasi, membawa saya ke klinik. Saya mungkin alah kepada formaldehid dalam spesimen pembedahan? Tutor kimia marah dengan saya kerana cermin mata saya terus tergelincir. Saya memberitahunya saya tidak mempunyai batang hidung. Sudah tentu bukan permulaan terbaik untuk sekolah perubatan. Saya terkial-kial sepanjang tahun pertama dan hampir tidak berjaya. Markah seburuk markah di tahun pertama tidak pernah saya alami. Saya terasa seolah-olah masa depan saya hancur berderai.
Walaupun hati terasa cuak, saya teruskan juga ke tahun kedua. Saya telah diberikan seorang wanita yang sangat gemuk untuk kelas anatomi manusia. Dia meninggal dunia pada usia lewat tiga puluhan. Dia mempunyai wajah yang sangat manis. Saya tidak boleh makan selama beberapa hari selepas setiap kelas anatomi. Tidak boleh tidur juga. Seolah-olah jiwanya bercakap dengan saya. Bercakap tentang sayangnya kepada anak-anaknya? Suaminya yang narsistik? Mencari keselesaan dalam makanan? Tidur saya penuh kecelaruan
Berat saya ketika itu ialah 44kg dan semakin menurun. Saya tahu bahawa saya terpaksa meninggalkan kursus perubatan. Terasa seperti saya gagal misi hidup saya, dan terasing sepenuhnya daripada semua orang. Hidup menjadi huru-hara dan tiada apa yang masuk akal. Saya terpaksa menghadiri tuisyen yang diberikan oleh tutor yang diupah oleh Colombo Plan (agensi biasiswa saya). Tiada siapa yang peduli untuk bertanya sama ada saya memerlukan tuisyen. Saya tidak mempunyai masalah untuk memahami kandungan akademik, saya hanya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup saya. Akhirnya, tutor mencadangkan kepada Colombo Plan supaya saya berjumpa pakar psikiatri. Apa yang dia lakukan adalah memberi saya satu demi satu ubat, semuanya menyebabkan tindak balas yang dahsyat: mengalami vertigo, menjadi loya dan pening, dan mengalami keletihan yang melampau. Tiada siapa yang menawarkan masa dan ruang untuk menjadi saksi ikhlas kepada kekeliruan yang saya rasai.
Saya bukanlah seorang yang bertuah yang membesar dengan solat sebagai rutin harian. Saya tahu bagaimana untuk berdoa, tetapi ia bukan rutin yang memberi saya ketenangan. Saya boleh membaca al-Quran tetapi ia juga bukanlah satu tabiat yang boleh membawa ketenangan pada ketika itu. Semasa saya membesar, saya tiada berinteraksi dengan ustaz dan ustazah yang saya anggap sebagai pengasih atau penyayang. Hanya satu cahaya kecil dalam hidup saya iaitu Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari saya kecil lagi, ia memberi saya pengharapan. Apabila saya merasakan tiada siapa yang menyayangi saya, saya tahu, jauh di lubuk hati bahawa Allah menyayangi saya
Saya berkongsi cerita ketika saya berusia 19 tahun. Saya berasa sedih apabila anak muda yang bermasalah begitu mudah dilabel sebagai "anak muda yang kurang iman ". Saya memberitahu anda iman tidak boleh dihasilkan dengan serta merta. Iman memakan masa untuk dibina dan dipupuk. Sesetengah daripada kita tidak bernasib baik untuk mempunyai orang yang penyayang membantu kita mengembangkannya semasa kita masih kanak-kanak.
Jordan Peterson, ahli psikologi klinikal Kanada, merasakan bahawa seseorang boleh membunuh diri apabila berhadapan dengan kerumitan yang luar biasa:
Peterson bercakap tentang tindakan mengimbangi antara keadaan huru-hara dan ketenteraman. Apabila ketertiban terlalu ditekankan, kehidupan akan cenderung tegar dan tersekat. Sebaliknya, apabila semua rutin dan konvensyen ditinggalkan, huru-hara akan berlaku. Perlu ada rutin dan susunan yang mencukupi untuk menyediakan kerangka kerja dan struktur; manakala kecairan dan rasa ingin tahu juga diperlukan untuk membawa kepada penemuan dan ciptaan baru.
Jordan B. Peterson (2018), 12 Rules for Life: An Antidote to Chaos
Websites: www.distilledmoment.com
www.redha.net
Email. : distilledmoment@gmail.com
Instagram username : halijah.mohd
Twitter handle: @distilledmoment
Allahuakhbar!!! Tqtq berkongsi Puan Guru yang saya sangat kasihi dan hormati🥰🥰🥰🥰🥰
BalasPadamTerima kasih sudi membaca perkongsian saya. Semoga memberi manfaat
Padam