Mempelajari Kepentingan Fokus
Walaupun banyak masa kanak-kanak saya dihabiskan di atas pokok, saya bukanlah secara semulajadi pandai memanjat. Tindakan memanjat memerlukan fokus dan perancangan. Pokok menjadi tempat sembunyi, tempat selamat serta tempat paling mudah membuat pemerhatian. Apabila saya tidak memberi fokus, kemalangan berlaku.
Ayah pernah memindahkan kami sekeluarga ke tempat baru untuk mencuba nasib dalam satu projek. Saya rasa kehilangan kerana tidak banyak pokok yang boleh dipanjat dengan selamat. Tiap-tiap hari saya berlatih memanjat sepohon pokok berhampiran rumah sewa kami. Lama kelamaan saya berjaya memanjat pokok tersebut dengan selesa.
Ada seorang kanak-kanak perempuan yang sebaya dengan saya ingin berkawan. Namanya Lijah Simpul, kerana keningnya bersimpul. Ibu saya mengerah saya berkawan dengan Lijah Simpul. Kita di tempat baru, perlu mengambil hati orang lain, katanya. Lijah Simpul kuat mengengek, tidak boleh salah sikit. Amat merimaskan. Satu pagi, saya ingin lari dari Lijah Simpul, saya memanjat pokok dengan terlalu cepat. Terus terjatuh. Kepala lutut kiri tidak lagi berada di tempat asal. Amat sakit. Tidak boleh berdiri. Dengan selamba, ayah masukkan kepala lutut semula dan disuruh berdiri.
Setelah sembilan bulan, ayah mengambil keputusan pulang semula ke kampung. Hilang rindu saya kepada pokok-pokok kesayangan. Satu hari, ketika saya di atas pokok, berangan dan bercerita dengan diri sendiri, saya terdengar satu kekecohan berlaku. Saya turun dengan cepat. Terlepas pegangan saya kepada satu dahan. Tercabut bahu kanan. Ibu saya masukkan semula.
Satu insiden lagi lebih berbahaya. Telah beberapa hari saya memperhatikan setangkai buah jambu. Ada lima atau enam biji. Saya menanti hingga ranum. Tiba-tiba, satu petang, seorang jiran datang bertandang. Dia ternampak jambu saya. Terus dia ambil galah dan cuba mengait tangkai simpanan saya. Saya punya, jerit saya, jangan kacau. Dia tidak mempedulikan jeritan saya. Saya terus memanjat dengan cepat. Terpijak dahan reput. Jatuh ke bumi, terhentak di rusuk kanan. Dunia gelap seketika. Kali ini, merananya agak lama. Rasa lemah serta sukar berjalan.
Beberapa hari saya banyak berbaring. Saya berfikir sendirian, saya amat kesal, tidak mempelajari perkara asas daripada pengalaman saya. Fokus penting ketika melakukan sesuatu tugasan atau tindakan. Bila fokus lari kepada perkara lain, tujuan tidak akan tercapai atau kemalangan akan berlaku. Walaupun sukar ke sekolah, dan diejek "tonggek", saya tidak benarkan fokus saya lari.
Websites: www.distilledmoment.com
Email. : distilledmoment@gmail.com
Instagram username : halijah.mohd
Twitter handle: @distilledmoment
Just thinking that there now must be kids who facing similar trauma to Puan Halijah.. my heart reach out to them with doa. Ya Allah, berilah mereka yg dianiaya kekuatan dan jalan keluar dari keadaan yg menyakitkan ..
BalasPadamSatu daripada sebab saya berkongsi ialah mempertingkatkan kesedaran terhadap kepayahan yang dihadapi kanak-kanak. Aamíin
Padam