Sekotak Pensil Warna
Saya ingin menyambung cerita Ustaz H. Dia suka membawa saya ke kelas darjah lima dan enam. Dia gunakan saya sebagai contoh budak rajin bagi memalukan budak-budak lelaki yang tidak tekun belajar. Sebenarnya saya tidak rajin belajar, hanya belajar begitu mudah bagi saya. Ketika itu ada pelajar yang amat besar, kerana umur pendaftaran sekolah tidak diseragamkan. Tindakan Ustaz H menghasilkan dendam terhadap saya di hati remaja-remaja panjang lampai tersebut. Mereka suka mengejek saya dan mengepung saya beramai-ramai. Saya mengadu kepada ayah saya walaupun saya pasti dia tidak akan membantu saya.
Pertama jangan tunjuk rasa takut. Capai apa-apa yang dapat seperti kayu dan sebagainya. Jangan sesekali memulakan pergaduhan atau dengan sengaja melakukan kesalahan. Itu pesan ayah saya. Kalau kita di jalan benar, lebih senang orang baik-baik mempertahankan kita. Kalau perlu mempertahankan diri, tumbuk dari bawah menyerong ke tepi dagu. Itu sajalah bekalan saya.
Saya ketika itu suka sangat melukis, tetapi tiada bahan warna atau kertas bagi mengasah bakat melukis saya. Saya gunakan kayu dan melukis di halaman rumah. Atau saya korek tanah liat dan saya bentuk dan ukir dan keringkan. Kepingan tersebut saya simpan di atas gelegar di bawah rumah
Musim buah apabila saya berumur sembilan tahun, pokok rambai berbuah lebat. Ayah saya tidak hiraukan buah rambai. Jadi saya kutip dan jual di tepi jalan. Murah rezeki saya, cukup duit untuk membeli kertas lukisan serta sekotak pensil warna. Tiba-tiba seorang remaja panjang lampai merentap raga rotan saya. Dia pun mencampakkan raga saya kepada kawannya. Bagi balik, jerit saya. Dia angkat raga saya se tinggi yang dia boleh. Ambillah, katanya mengejek. Saya melompat dan menumbuk di tepi dagunya sekuat hati. Dia terkejut kesakitan dan mencampak raga saya ke tanah. Melihat pensil warna saya berkecai, marah saya meluap, saya panjat dia dan menggigit bahunya hingga berdarah.
Semua terkejut. Masing masing mengambil basikal dan meninggalkan kawasan sekolah. Tinggallah saya seorang, mengutip pensil warna saya dengan air mata berjurai sedih.
Websites: www.distilledmoment.com
www.redha.net
Email. : distilledmoment@gmail.com
Instagram username : halijah.mohd
Twitter handle: @distilledmoment
Ya Allah, it truly was a painful life then..
BalasPadamTerima kasih atas empati yang dirasai. Syukur alhamdulillah atas segala rahmat Allah
BalasPadam