Mensyukuri Bantuan Ikhlas Seorang Guru

Kalau ingatan saya betul, Miss J mula bertugas di sekolah asrama saya ketika saya di tingkatan dua.  Saya amat tertarik dengan Miss J kerana dia berambut perang tetapi amat berlainan daripada guru-guru sukarelawan yang pernah bertugas di sekolah.  Saya berpeluang menyatakan keheranan saya apabila Miss J memanggil saya ke gimnasium.  "I am a mongrel, Halijah".  Itu jawapan Miss J.  Miss J risaukan lebam yang tidak mahu baik di kedua-dua tangan saya setelah bermain bola tampar.  Saya malu dengan Miss J kerana saya amat kekok apabila bermain apa-apa permainan fizikal.


Satu hari, Miss J ternampak saya hampir pengsan.  Mungkin kerana saya tidak makan.  Saya banyak alahan, ada makanan yang menyebabkan saya tidak sihat.  Saya juga langsung tidak berduit.  Tidak ada pilihan untuk ke kantin.  Kalau ada yang mempelawa saya makan, saya menolak, kerana saya tahu saya tidak berpeluang membalas balik.  Tidak siapa tahu masalah saya.  Untuk merasa sedikit selamat, saya simpan 10 ringgit dalam Quran saya.


Miss J suka pula meminta bantuan saya mengemas peralatan.  Saya rasa itu helah dia memberi saya Milo atau Horlicks.  Mungkin juga dia sunyi.  Dia banyak bercerita tentang pengalaman kanak-kanaknya dibesarkan di sebuah Convent di Singapura.  Dalam dia bercerita, dia suruh saya berlatih berjalan dengan mengimbangi buku-buku tebal.


Miss J selalu menjadi warden di hujung minggu.  "I want to travel one day", itu jawapan Miss J.  Kadang kala dia membeli makanan untuk saya.  Saya memang tidak mudah menceritakan kesusahan atau kesedihan saya kepada sesiapa.  Mungkin kerana Miss J banyak menceritakan kisah hidupnya, ada juga saya berkongsi sedikit dengan Miss J. Dia mendengar dengan teliti dan tidak memberi apa-apa nasihat.  Agaknya, hanya mereka yang tidak melalui keperitan begitu senang menasihati orang lain?


Saya amat bersyukur Allah menghadirkan orang seperti Miss J ketika saya amat memerlukan perhatian dan bantuan.  Sebelum saya ke asrama, saya telah pasakkan dalam hati semangat kukuh berdikari.  Walaupun begitu, sekali sekala lentur juga keazaman.  Amat manis mendapat bantuan yang ikhlas yang tidak meminta apa-apa balasan.  


Websites: www.distilledmoment.com

                 www.redha.net

Email.    : distilledmoment@gmail.com

Instagram username : halijah.mohd

Twitter handle: @distilledmoment


 

Ulasan

  1. A heart saver, Miss J. I hope I am too a Ms J to anyone along my life. Puan Halijah hv been to me many times the Ms J. Jzklh khair

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ribuan terima kasih. Saya percaya setiap orang mempunyai keupayaan perihatin kepada yang memerlukan

      Padam

Catatan popular daripada blog ini

Apabila Sesuatu Tidak Dapat Dilihat Walaupun di Depan Mata

Nilai Belas Kasihan, Bahagian 1

Pemindahan Pembelajaran