Perjalanan Mencari Penyembuhan

Semasa ibu saya tinggal bersama saya 1977 hingga dia meninggal empat tahun kemudian, dia ada bercerita, saya seorang bayi yang sihat, tidak mudah meragam dan senang dibesarkan. Hanya satu masalah: rasa ingin tahu yang amat tinggi dan tidak mudah ditakutkan. Dia terpaksa letak teko dan segumpal kapas di muka pintu, kalau tidak saya akan turun tangga. Yang ganjilnya, dia tidak ingat kenapa saya takutkan dua benda tersebut? Ketika ibu saya sihat, dia bersusah payah sediakan bekal dan sarapan untuk saya sebelum saya keluar bekerja. Saya membesarkan diri sendiri, katanya, tidak pernah dimanjakan, sementara ada peluang, biarlah dia manjakan saya, walaupun sedikit. Saya tidak sampai hati untuk bertanya adakah dia kesal? Yang saya ingat adalah perasaan rimas dia terhadap saya sebab begitu alah kepada gigitan agas hingga mata dan telinga bengkak. Atau berkudis apabila dicucuk lalang. Atau terlalu senang muntah. Kenapa tak jadi puteri, jeritnya. Da...